Apakah insurans hayat?
Dalam insurans hayat, sebilangan besar orang (dipanggil pemegang polisi)
membayar sejumlah wang (premium) ke dalam suatu dana yang diurus oleh syarikat
insurans. Apabila seseorang di dalam kumpulan itu ditimpa kesusahan, dia akan
diberi sejumlah wang daripada dana tersebut untuk membantu meringankan
kesusahannya.
Bagaimanakah saya membeli polisi insurans hayat?
Anda boleh memilih untuk membeli polisi insurans hayat daripada institusi
kewangan seperti bank yang mempunyai urusan bankasurans dengan syarikat
insurans, melalui broker insurans atau ejen insurans hayat.
Sekiranya anda membuat keputusan untuk membeli polisi insurans melalui
ejen, sebelum berurusan dengan ejen, anda hendaklah berpuas hati dengan
reputasi dan kelayakan ejen tersebut.
Semua ejen yang menjual insurans hayat adalah berdaftar dengan Persatuan
Insurans Hayat Malaysia [Life Insurance Association of Malaysia (LIAM)], dan
dimestikan lulus peperiksaan yang dikendalikan oleh Institut Insurans Malaysia.
Apabila berurusan dengan ejen, pastikan anda meminta untuk melihat kad kuasa
beliau yang dikeluarkan oleh LIAM.
Kontrak polisi
Apabila anda membeli polisi insurans hayat, wujud kontrak di antara anda
dengan syarikat insurans. Anda bersetuju untuk membayar premium bagi tempoh
tertentu dan, sebagai balasan, syarikat insurans akan membayar kepada penama
atau estet anda sejumlah wang berikutan kematian anda.
Sekiranya anda mengalami hilang upaya menyeluruh dan kekal atau apa-apa
situasi yang ditetapkan, bayaran akan dibuat kepada anda. Dalam kes hilang
upaya menyeluruh dan kekal, wang itu biasanya dibayar secara ansuran.
Anda mestilah sentiasa membaca cetakan halus di dalam kontrak dan memahami
had-had atau klausa pengecualiannya.
Pelepasan cukai pendapatan
Anda boleh menuntut pelepasan cukai terhadap premium yang anda bayar,
tertakluk kepada terma dan syarat tertentu. Bagi polisi hayat biasa, amaun
maksimum pelepasan ialah RM6,000 termasuk apa-apa sumbangan yang anda buat
kepada skim manfaat persaraan yang diluluskan, seperti Kumpulan Wang Simpanan
Pekerja atau skim-skim pencen yang lain. Bagi polisi perubatan atau pendidikan,
pelepasan cukainya ialah RM3,000 setahun.
Apakah polisi yang patut saya beli?
Anda mestilah memilih jenis polisi yang paling sesuai dengan kedudukan diri
anda. Sekiranya anda masih muda dan ingin memastikan pasangan dan anak anda
akan terbela jika anda tiba-tiba meninggal dunia, insurans bertempoh adalah
paling sesuai. Sekiranya anda telah berumur dan mempunyai keluarga yang lebih
mantap, jenis premium tetap dan polisi yang mengumpul nilai tunai adalah lebih
sesuai.
Anda hendaklah memahami skop perlindungan yang diberikan di bawah polisi,
terma dan syarat serta kos perlindungan insurans yang berbagai. Anda juga harus
mengetahui apa akan terjadi sekiranya anda ingin beralih daripada satu syarikat
insurans kepada syarikat insurans yang lain, atau sekiranya anda ingin
berpindah daripada satu jenis polisi kepada polisi lain.
No comments:
Post a Comment